Friday 23 March 2018

Pelancaran HaN1s & Nilam Sedaerah 2018

Pada 8 Mac 2018, Pusat Sumber SMK Jalan Reko mengadakan Pelancaran HaN1s & Nilam Sedaerah Peringkat Sekolah.  Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengacara majlis.  Kemudian para guru dan pelajar mengaminkan bacaan doa oleh Nik Akif Danis bin Sahazerim.  Seterusnya, ucapan oleh Guru Perpustakaan dan Media, Pn. Haslina bt. Ibrahim.


Majlis diteruskan dengan bacaan perutusan dari Pengarah Pendidikan oleh Pengetua, En. Wan Roslan bin Wan Yaacob. Beliau kemudian memotong riben bunting Pelancaran HaN1s dan Nilam Sedaerah Hulu Langat Peringkat SMK Jalan Reko.  Selepas itu, beliau memotong kek pelancaran bersama-sama dengan Penolong Kanan En. Abu Mansor Mat Urdi bin Yahaya.

  

Seterusnya, penyampaian Sijil Tokoh Nilam 2017 untuk Nurul Syafiqah binti Safian. Hamper pula disampaikan kepada Johan dan Naib Johan dan tempat ketiga Pertandingan Infohunt peringkat sekolah. Sebagai penutup majlis, barisan Biro Pusat Sumber mempersembahkan Sketsa Cara Merekod Buku Nilam.  Majlis berakhir pada jam 8.05 pagi.


Sumbangan Perabot Dari Library UKM

Pada 5 Februari 2018, pihak Library UKM telah menghantar perabot terpakai ke Pusat Sumber SMK Jalan Reko. Perabot ini dijanjikan sejak dari tahun lepas tapi baru sekarang boleh dihantar kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Perabot yang disumbangkan termasuklah meja kaunter, rak buku, meja karel dan rak untuk meletakkan beg. Kami amat berbesar hati menerima sumbangan tersebut dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak Library UKM.



Infohunt Peringkat Sekolah 2018

Pada 12 Februari 2018, pihak MSU sekali lagi mengendalikan Pertandingan Infohunt untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5 SMK Jalan Reko.  Tahun ini terdapat 14 kumpulan yang bertanding.  Tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan 1.  Naib Johan dan Johan yang akan mewakili SMK Jalan Reko ke Pertandingan Infohunt Kebangsaan ialah kumpulan 2 dan kumpulan 11.

 


Sunday 22 October 2017

Peningkatan Profesionalisme GPM & PKG Zon Bangi

Pada 5 Oktober 2017, GPM & PKG Zon Bangi telah mengadakan lawatan ke Pusat Sumber SMK Dato' Abu Bakar Baginda dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Daerah Hulu Langat. Program ini diadakan bertujuan untuk menimba ilmu bagi memantapkan Pusat Sumber di sekolah masing-masing. 

 
 

Program Jaringan Komuniti

Pada 25 September 2017, Pihak Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM turun ke Pusat Sumber SMK Jalan Reko dalam Program Jaringan Komuniti. Objektif program ini ialah
1.  memberi kesedaran berkenaan peranan perpustakaan dalam menyokong aktiviti pembelajaran dan pengajaran di sekolah
2.  memberi pendedahan kepada pelajar tentang tatacara pengurusan bahan dan juga Pusat Sumber Sekolah
3.  memupuk serta menggalakkan minat membaca dan pembudayaan ilmu di kalangan pelajar
4.  memupuk semangat dan kerjasama berpasukan

 

Bengkel Literasi Maklumat

Pada 19 September 2017, Guru Perpustakaan & Media (GPM) bersama pihak PKG Zon Bangi mengadakan Bengkel Literasi Maklumat yang melibatkan penanaman pokok herba dan pencarian maklumat mengenai kegunaan pokok-pokok tersebut.

Pokok-pokok adalah sumbangan dari GPM dan pihak PKG sendiri. Kerja-kerja dibahagikan mengikut kumpulan supaya semuanya lancar dan mencapai objektif.

Antara pokok-pokok herba yang ditanam ialah kunyit, serai, cekur, ulam raja, pudina, lidah buaya, pokok kari dan lain-lain.

  


Sunday 30 July 2017

Infohunt Kebangsaan 2017

Pada 26 Julai yang lalu, Management & Science University (MSU) selaku pengelola utama pertandingan, serta usahasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Putrajaya, Kuala Lumpur, Bahagian Teknologi & pendidikan Negeri (BTPN) selangor dan Pusat Kegiatan Guru Bandar Bentong telah menganjurkan pertandingan MSU INFOHUNT KEBANGSAAN 2017 di kampus utama MSU.

Sebanyak 55 buah sekolah dari Selangor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur & Putrajaya mengambil bahagian dalam pertandingan ini.  Setiap sekolah diwakili oleh 12 orang peserta, 2 orang guru pengiring dan seorang ahli jawatankuasa untuk membantu pertandingan.

Kategori pertandingan di peringkat akhir adalah pertandingan pakaian terbaik, sorakan terbaik, kerjasama berpasukan terbaik, pengurusan infohunt sekolah terbaik, kepimpinan terbaik, promo tweeter terbaik, foto tweeter terbaik, video Infohunt terbaik sekolah dan kumpulan paling meriah.  Hadiah yang ditawarkan juga lumayan iaitu juara peringkat kebangsaan, SMK La Salle (Kuala Lumpur) menerima biasiswa bernilai RM20 000, wang tunai RM1 600, piala pusingan, sijil peringkat kebangsaan, hamper dan cenderahati.

SMK Jalan Reko dipilih buat pertama kalinya tahun ini untuk menyertai pertandingan infohunt. Kami bersama dengan peserta SMKJ3 dan SMKJ4 ke MSU dengan menaiki bas SMKJ4. 

 



Pertandingan Sorakan

Promo Tweeter

Aktiviti Pusat Sumber