Thursday 18 May 2017

KEMBARA ILMU KE PBAKL


Program Kembara Ilmu ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dilaksanakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang program Galakan Membaca dan Literasi maklumat. Cara utama membina budaya ilmu dalam sesebuah sekolah ialah melalui tabiat membaca yang berterusan.  Oleh yang demikian, program ini dapat membantu murid-murid dalam mendapatkan pelbagai bahan bacaan ilmiah yabg bercetak mahupun elektronik.


Pada 4 Mei 2017, Pusat Sumber SMK Jalan Reko bersama dengan Unit SPBT telah menganjurkan lawatan ke PBAKL di PWTC. Seramai 40 orang pelajar dan 3 orang guru menyertai rombongan ke Pesta Buku ini. Rombongan ini bertolak dari sekolah pada jam 8.15 pagi dan kembali ke sekolah semula pada jam 1.30 petang.

  

   

KEM JALINAN UNGGUL PSS/KOOP/REDAKSI

Pada 22-23 April 2017, Pusat Sumber SMK Jalan Reko telah menganjurkan Kem Jalinan Unggul yang disertai oleh 90 orang pelajar, terdiri dari Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Koperasi dan pelajar dari Unit Redaksi. Kem ini diadakan di Nur Bukit Unggul Eco-Resort, Jenderam, Selangor.




Antara objektif kem ini ialah untuk meningkatkan semangat jati diri, kepimpinan dan melatih pelajar dalam menguruskan sesuatu program dengan lancar serta menyemai semangat bekerjasama di dalam satu pasukan. Sepuluh orang fasilitator dilantik untuk mengendalikan kem ini yang terdiri dari 5 orang Pengawas Pusat Sumber dan 5 orang Pengawas Koperasi.





Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kem ini ialah Flying Fox, Obstacle Courses, Explorace, Sukaneka dan Video Clip Challenge.  Program ini berjalan lancar seperti yang dirancang.  Banyak pengalaman yang dapat ditimba oleh peserta di dalam aktiviti yang berlangsung.


BENGKEL PENGURUSAN FAIL

Pada 11 April 2017, PKG Bangi mengadakan Bengkel Pengurusan Fail untuk Guru Perpustakaan & Media (GPM) seluruh Bangi. Pn. Haslina bt. Ibrahim menghadiri bengkel ini yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada GPM tentang fail-fail yang perlu ada di Pusat Sumber dan juga untuk memastikan Fail Pusat Sumber di setiap sekolah adalah seragam.


Secara ringkasnya, Pusat Sumber di setiap sekolah harus mempunyai dua fail iaitu Fail Kuasa yang mempunyai 15 bab dan Fail Meja. Fail-fail itu perlu dikemaskini setiap masa kerana pihak PKG Bangi akan membuat pemantauan ke Pusat Sumber Sekolah.


KEM MEMBACA 1 MALAYSIA 2017

Pada 5 April 2017, Pusat Sumber SMK Jalan Reko mengadakan Kuiz Spontan sebagai aktiviti Kem Membaca 1 Malaysia tahun 2017. Objektif Kuiz Spontan ini diadakan ialah untuk menarik minat murid mendengar maklumat yang disampaikan dengan teliti serta meningkatkan kemahiran mencari maklumat dalam kalangan murid.



Pn. Zaimah bt. Mohd Zain (Guru Nilam) menyampaikan taklimat mengenai Program Nilam Yang Ditambahbaik semasa perhimpunan pagi.  Murid-murid mendengar dengan teliti maklumat yang disampaikan dan kemudian guru membacakan soalan. Murid naik ke pentas untuk memberi jawapan dan seterusnya guru memberi hadiah bagi jawapan yang betul.

Aktiviti Pusat Sumber